TIGA PELAJAR TAHFIZ LARI ASRAMA KERANA TIDAK HAFAZ AL-QURAN

GAMBAR SEKADAR HIASAN

SUNGAI PETANI: Takut dimarahi ustaz atau tenaga pengajar kerana tidak dapat melakukan hafazan al-quran, tiga pelajar lelaki sebuah Maahad Tahfiz di Pokok Asam, Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani bertindak melarikan diri dari asrama awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketiga-tiga pelajar lelaki berusia 12, 13 dan 16 tahun itu bagaimanapun ditemui semula di rumah rakan mereka di Alor Setar, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dari warden asrama pusat tahfiz berkenaan selepas pemeriksaan mendapati tiga pelajar terbabit tiada di asrama itu pada jam 4.45 pagi ahad.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) pusat tahfiz itu mendapati, pelajar terbabit dipercayai keluar dari asrama pada jam 4.30 pagi.

Katanya, kerana bimbangkan keselamatan tiga pelajar berkenaan, warden asrama terbabit membuat laporan polis sejurus kemudian.

Polis bagaimanapun berjaya mengesan ketiga-tiga pelajar itu dipercayai pergi ke rumah salah seorang rakan mereka di Alor Setar.

Berikutan itu, ketiga-tiga pelajar yang berasal dari Alor Setar, Kuala Nerang dan Sungai Lalang, itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini untuk dirakam percakapan.

Katanya, hasil rakaman percakapan mendapati punca ketiga-tiga pelajar melarikan diri dari asrama kerana mereka tidak boleh membuat hafazan Al-Quran.

Siasatan lanjut polis turut mendapati tiada kejadian penderaan atau buli terhadap mereka sejak ketiga-tiga pelajar itu belajar di pusat tahfiz berkenaan sejak setahun lalu.

Adzli berkata, tiada sebarang kes jenayah berlaku terhadap mereka dan kes dianggap selesai.

Pusat maahad tahfiz itu ditubuhkan pada Januari 2019 dan beroperasi sehingga kini.

Hasil semakan mendapati pusat maahad tahfiz itu memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK). — AlHijrah Online

Leave a Reply