TINDAKAN GANAS TIDAK KURANGKAN ISLAMOFOBIA: TUN MAHATHIR

Last Updated on

4

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perlunya untuk umat Islam, di sebalik kemarahan dan kekecewaan mereka, mengelak daripada melakukan tindakan keganasan kerana ia tidak dapat membantu usaha dalam menentang Islamofobia.

Perdana Menteri berkata umat Islam boleh mengisytiharkan bahawa Islam tidak menganjurkan keganasan seperti itu tetapi ini akan ditolak sekiranya tindakan mereka dilakukan akibat kemarahan.

“Selagi kita bertindak dengan kemarahan, selagi kita melakukan perkara yang menakutkan orang, dan lebih buruk lagi jika kita melakukan jihad Islam, ketakutan terhadap umat Islam dan agama Islam tidak akan berkurangan,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi persidangan itu, berkata demikian dalam ucaptama pada pembukaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, di sini. hari ini.

Persidangan edisi kelima itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Persidangan tersebut dihadiri pemimpin Islam seperti Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Dr Mahathir berkata umat Islam telah melakukan lebih banyak kerosakan terhadap agama sendiri dengan melakukan keganasan yang tidak dapat disangkal.

“Kita mungkin mendakwa melakukan jihad tetapi hasilnya adalah lebih banyak penindasan terhadap umat Islam di merata tempat,” katanya, sambil memetik contoh di mana umat Islam diusir dari negara asal, ditolak oleh negara suaka, ditindas dan dikutuk.

“ Kami marah dan kecewa. Kami tidak boleh melancarakan perang konvensional. Tiada negara akan membantu kita. Biarpun jika ada, apa yang kita dapat dengan tindakan keganasan? Tiada apa-apa”, katanya.

Beliau berkata beberapa pihak mendakwa tindakan keganasan dilakukan oleh mazhab lain yang dilabel sebagai bukan pengikut Islam sebenar.

“Tetapi penentang dan mangsa tidak peduli dengan perbezaan mazhab kita. Bagi mereka, kita semua Muslim. Perbezaan antara mazhab tidak relevan,” kata perdana menteri. — BERNAMA

Leave a Reply