Tindakan IPC tak jejas pembangunan sukan negara

PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) melucutkan hak penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 tidak akan menjejaskan pembangunan dan kemajuan sukan di negara ini.
Syed Saddiq berkata pendirian Malaysia untuk tidak membenarkan atlet Israel masuk ke negara ini tidak akan memberi sebarang impak kepada Malaysia.
Beliau berkata Malaysia mempunyai rekod yang sangat panjang dalam mempertahan bumi Palestin.
“Saya agak yakin dari segi pembangunan sukan ia akan tetap lancar kerana
ini merupakan pendirian yang dah lama Malaysia ambil sebelum ini, kita pernah menganjurkan pelbagai jenis sukan dan juga aktiviti antarabangsa.
“Sebab utama, kerana bumi Palestin sangat dekat di hati rakyat Malaysia dan ini bukan isu Islam semata-mata. Ini isu kemanusiaan dan dekat di hati semua tidak mengambil kira agama dan bangsa,” jelasnya.
Beliau berkata, pra-syarat yang diberikan Malaysia amat jelas, terhadap penyertaan negara Israel sahaja dan perkara itu akan dimaklumkan apabila wujud bidaan penganjuran sukan.
Bagaimanapun Syed Saddiq berkata beliau musykil kenyataan yang dikeluarkan oleh IPC yang memaklumkan dalam satu perenggan bahawa pada 2017, wujud persefahaman dengan kerajaan sebelum
ini untuk membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.
“Rakan media boleh tanya apa pendirian kerajaan terdahulu mengenai isu ini.
“Pendirian kerajaan PH agak jelas bahawa prasyarat itu adalah tidak boleh ada kemasukan atlet dan pegawai daripada negara Israel yang menggunakan pasport negara itu. Semua persatuan sukan telah ambil maklum mengenai isu ini,” katanya dalam sidang media Program Festival Bando Muo yang bakal berlangsung pada 31 Januari hingga 3 Februari ini. – Sinar Harian
BERKAITAN