TV ALHIJRAH TERIMA DUA PENGIKTIRAFAN ANUGERAH THE BRANDLAUREATE 2019

KUALA LUMPUR: AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) menerima dua pengiktirafan anugerah berprestij dalam dunia penjenamaan perniagaan di Majlis The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2019 di Hotel Majestic di sini semalam.  

Dua pengiktirafan terbabit adalah The BrandLaureate World Halal Brand Leadership Awards diterima Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) TV AlHijrah, Namanzee Harris dan The BrandLaureate World Halal Strategic Business Partner Brand Awards yang mengiktiraf TV AlHijrah secara keseluruhannya.

KPE TV ALHIJRAH DIIKTIRAF SEBARIS SITI NURHALIZA DAN KP JAKIM

Selaku penerima anugerah kepimpinan The BrandLaureate itu, Namanzee berdiri sebaris dengan dua lagi penyandang anugerah sama iaitu selebriti terkenal, Datuk Siti Nurhaliza yang juga Pengasas Simply SS Trading Sdn Bhd dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Namanzee menyifatkan kedua-dua anugerah berprestij terbabit sebagai pengiktirafan industri kepada sumbangan TV AlHijrah dalam penyebaran dakwah Islam melalui industri penyiaran dan korporat.

Katanya, anugerah terbabit juga menterjemahkan pengiktirafan industri kepada agensi dan jabatan agama dalam sektor korporat.

“Ia juga membuktikan TV AlHijrah sebagai salah satu perintis dan inovatif dalam sektor islamik korporat, berdaya saing dan kompetitif dalam arus IR4 (Revolusi Industri Ke-4).

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia mengiktiraf kerja keras kesemua kakitangan TV AlHijrah selain apresiasi khusus kepada semua unit terlibat,” katanya kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

Pengiktirafan anugerah kepimpinan The BrandLaureate kepada Namanzee yang sebelum ini mengetuai Jabatan Kandungan dan Inovasi ASTRO adalah berdasarkan pengalaman dan sumbangannya dalam bidang penyiaran sejak 16 tahun lalu, selain menjadi pengemudi baharu bagi TV AlHijrah.

Selain TV AlHijrah, JAKIM juga turut diiktiraf sebagai penerima The BrandLaureate World Halal Strategic Business Partner Brand Awards diikuti Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Persekutuan Muslim Korea.

Kedua-dua organisasi terbabit, TV AlHijrah dan JAKIM diiktiraf bagi kategori sama tahun lalu.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan Presiden The BrandLaureate, Dr KK Johan dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tetamu kehormat, serta kenamaan lain.

Halal adalah industri global yang berkembang pesat dan mempunyai potensi besar bukan hanya di negara Islam tetapi kuasa ekonomi bukan Islam seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom. – AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply