UGUT KELUAR ISLAM BUKTI RAPUH KEYAKINAN TERHADAP ALLAH SWT

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan rasa dukacita dengan sikap dan tingkah laku segelintir umat Islam di negara ini khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan akidah dan keislaman mereka.

Setiausaha Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi kenyataan hari ini berkata, Baginda menegaskan apa-apa juga iktikad (penyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama Islam dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya akidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari agama Islam.

“Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan akidah sepanjang kehidupannya.

“Sehubungan dengan itu tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah SWT,” kata kenyataan akhbar Sultan Selangor berkaitan isu murtad.

Titah Sultan Selangor, Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah SWT kpada umat Islam, maka hendaklah dijaga dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa atau kepayahan.

Kenyataan Sultan Selangor turut memaklumkan, tahap keseriusan kesalahan perbuatan murtad digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syara’, di mana seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam dan yang telah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat adalah boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafi’e.

Baginda telah menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

MAIS dan JAIS juga titah baginda sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri Selangor atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi. – AlHijrah Online

Leave a Reply