UMUR BUKAN FAKTOR UTAMA HANTAR ANAK KE PUSAT TAHFIZ
Oleh Abdul Hakim Hasan
KUALA LUMPUR: Umur bukannya faktor utama, sebaliknya ibu bapa perlu memastikan anak mereka sudah boleh berdikari sebelum dihantar ke pusat tahfiz.
Itu hasil tinjauan Berita AlHijrah mengenai isu pelajar tahfiz yang menimbulkan keresahan ramai selepas seorang pelajar lelaki berumur tujuh tahun maut dipercayai dipukul di sebuah pusat tahfiz di Pahang.
Kakitangan swasta, Siti Amona Mohd Ron, 20-an berkata, ibu bapa tidak boleh sewenang-wenangnya menghantar anak mereka ke pusat tahfiz dengan alasan untuk memperbaiki akhlak.
“Ibu bapa perlu memastikan anak mereka sudah mampu berdikari sebelum ‘dilepaskan’ ke pusat tahfiz. Kebelakangan ini kerap berlaku kes buli dan pukul dalam kalangan pelajar tahfiz itu sendiri,” katanya kepada Berita AlHijrah di Pusat Membeli-belah Sogo di sini hari ini.
Media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun ditemui maut dengan kesan lebam pada badannya di sebuah pusat tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang pada 7 November lalu.
Insiden itu mendapat perhatian ramai termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu kes itu disiasat secara serius selain menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan di pusat tahfiz terbabit.
Ia turut menimbulkan persoalan mengenai tahap umur sesuai bagi kanak-kanak sebelum dihantar ke pusat tahfiz oleh ibu bapa atau penjaga.
Seorang lagi kakitangan swasta, Zulhekmi Akhtar Zainol Abidin berkata, aspek kemudahan dan infrastruktur perlu diteliti ibu bapa sebelum memilih sesebuah pusat tahfiz.
“Kebanyakan pusat tahfiz adalah tidak berdaftar dan bertapak di atas bangunannya tanpa kelulusan pihak berwajib. Bagi kes seperti ini, tiada jaminan keselamatan jika berlaku sesuatu kemalangan seperti kebakaran,” katanya.
Kakitangan kerajaan, Mohd Ridzuan Abdul Rashid berkata ibu bapa perlu melihat kesediaan dan minat anak-anak sebelum menghantar mereka ke pusat tahfiz.
“Kerap kali berlaku anak-anak dipaksa belajar menghafal Al Quran tanpa kemahuan mereka. Kesannya, prestasi pelajaran mereka masih di tahap yang sama dan gagal menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama,” katanya. – AlHijrah Online