’UNBOXING ISTERI’ MEMBAWA KEPADA KERUNTUHAN INSTITUSI KELUARGA – AHMAD MARZUK

PUTRAJAYA: Trend ‘unboxing isteri’ yang semakin gemar dilakukan pasangan baru berkahwin boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Menjelaskan perkara itu, Ahmad Marzuk berkata bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi keluarga daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul dan dibimbangi memberi kesan kepada pembentukan moral anak-anak.

“Masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram.

“Hal ini bukan perkara yang pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ujar Ahmad Marzuk, pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah kandungan.

Trend tersebut, menurut Ahmad Marzuk, sedikit sebanyak boleh menjejaskan nilai-nilai institusi keluarga Islam.

Memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) katanya telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025

“Pelan ini bertujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di negara ini. Antara langkah-langkahnya adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa dan media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.

“Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kepada kerjasama yang holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini,” katanya.

Baru-baru ini, tular trend ‘unboxing isteri’ di media sosial yang memaparkan pengantin lelaki membantu isterinya untuk membuka tudung serta menanggalkan aksesori pada pakaian pengantin.—AlHijrah Online

Leave a Reply