Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

USAH RENTAP KEHARMONIAN DAN KESEPAKATAN YANG DINIKMATI MASYARAKAT – MOHD NA’IM

DALAM NEGARA

USAH RENTAP KEHARMONIAN DAN KESEPAKATAN YANG DINIKMATI MASYARAKAT – MOHD NA’IM

PUTRAJAYA: Semua pihak dinasihatkan untuk tidak menggadaikan keharmonian dan kesepakatan yang dinikmati rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berucap sebelum mengetuai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – Bernama

PUTRAJAYA: Semua pihak dinasihatkan untuk tidak menggadaikan keharmonian dan kesepakatan yang dinikmati rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan menjadikan sentimen agama sebagai senjata untuk meraih sokongan perlu dihentikan.

“Usahlah direntap keharmonian serta kesepakatan yang dinikmati masyarakat. 

“Adalah amat menyedihkan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab, umpama api dalam sekam, sengaja menjadikan sentimen agama dan perkauman sebagai senjata untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu. 

“Janganlah kita menjadi pemecahbelah yang memporak- peranda, mencetus provokasi dan menyebar fitnah,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah/2023 Masihi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tambah beliau semua pihak perlu membawa watak pendamai yang menyeru kasih sayang serta menyatu kesatuan ummah selain menjadi insan yang bertanggungjawab kepada negara.

Rasulullah SAW juga katanya sentiasa mengangkat seruan perpaduan dalam kehidupan dan ia bukan sekadar menjadi laungan retorik ucapan, sebaliknya dengan penuh kejujuran yang dibuktikan melalui tindakan yang sarat dengan nilai keikhlasan. 

“Buktinya, negara Madinah Al-Munawwarah telah ditadbir dengan tatakelola yang mengibar tinggi panji keadilan serta menghamparkan permaidani kebajikan insan. 

“Sirah telah memahat ibrah, Rasulullah telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Kelompok ‘Aus dan Khazraj yang lama berseteru dan bertelingkah, didamaikan dengan kalimah iman, serta Piagam Madinah telah dimeterai untuk mengekalkan keharmonian. 

“Madinah Al-Munawwarah menjadi aman dan damai dengan kerukunan, menaungi masyarakat Islam dan bukan Islam. Sungguh berhikmah qudwah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memartabat kemuliaan manusia dengan prinsip karamatul insan,” katanya.

Dalam ucapannya, Mohd Na’im turut memaklumkan, “Perpaduan Teras Malaysia Madani” telah diangkat sebagai tema majlis Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah untuk dihayati bersama, bersebati dengan intipati citra kepimpinan Rasulullah SAW yang bersifat inklusif serta manusiawi, sesuai dengan kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

Majlis itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading