USAHA ANGKAT ILMU QIRAAT KEPADA MAAHAD TAHFIZ SELURUH NEGARA

Peserta Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan 2023.

SHAH ALAM: Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan 2023 bermatlamat untuk memperkenalkan kepentingan ilmu qiraat kepada maahad tahfiz di Malaysia khususnya di Selangor.

Penganjuran program itu juga bertujuan untuk merealisasikan hasrat Dasar Tahfiz Negeri Selangor yang ingin menerapkan subjek qiraat di seluruh maahad tahfiz di negeri itu dan memperkenalkan kaedah-kaedah qiraat seperti Qalun dan Warasy kepada guru-guru Al-Quran.

Pada masa sama, program itu juga menyediakan perkhidmatan konsultasi kepada guru-guru dalam bidang Al-Quran dan qiraat.

Program julung kali pada 25 Mei lalu itu diadakan oleh Maahad Tahfiz Ismail (MTI) dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Selangor (PITAS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Universiti Teknologi mara (UiTM) Puncak Alam.

Ia dihadiri seramai 450 peserta terdiri daripada pelajar MTI dan wakil-wakil pelajar dari maahad tahfiz negeri di seluruh Malaysia.

Beberapa inisiatif program termasuklah pembentangan kertas kerja oleh panel yang mahir dalam ilmu qiraat antaranya Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Qiraat, Darul Quran, Al-Fadhil Syeikh Hossam Hasan Mohamed Elmihy, Ahli Jawatankuasa Literasi Al-Quran Peringkat Selangor, Syeikhul Maqari’ Dr. Othman Hamzah dan Pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Qiraat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim.

Gambar di Program Seminar Al-Quran dan Al-Qiraat peringkat Kebangsaan 2023.

MTI merupakan sebuah institusi pendidikan agama yang ditubuhkan pada 16 Januari 2016 oleh Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad Tan Sri Rozali Ismail yang terletak di Puncak Alam, Selangor.

Institusi pengajian ini berfokus kepada pendidikan tahfiz Al-Quran dan menawarkan program-program yang bertujuan untuk menghasilkan para hafiz dan hafizah yang mempunyai kefasihan dalam membaca, memahami dan mengamalkan Al-Quran. – AlHijrah Online

Leave a Reply