USTAZAH TASLIMAH MENINGGAL DUNIA KETIKA PIMPIN TAHLIL, KHATAM AL-QURAN

Tangkap layar dari klip video yang tular memaparkan Ustazah Taslimah meninggal dunia ketika sedang memimpin bacaan tahlil dan khatam Al-Quran.

JAKARTA: Seorang ustazah meninggal dunia ketika sedang memimpin bacaan tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jalan Al Barkah, Tebet, Jakarta Selatan, semalam.

Video yang memaparkan Ustazah Taslimah itu tular di media sosial dan berita kematiannya disahkan pihak pengurusan Masjid Al Barkah As Syafiiyah, Alwy Rasyid.

Menerusi klip video itu, Taslimah yang sedang membaca Surah Al-Baqarah tiba-tiba menjadi lemah.

Beliau yang sedang duduk terjatuh ke belakang menyebabkan jemaah wanita yang mengikuti program itu berusaha membantunya.

Memetik laporan CNN Indonesia, Alwy Rasyid mengesahkan Taslimah meninggal dunia ketika sedang memimpin program khatam al-Quran pagi semalam.

“Beliau meninggal jam 7.30 pagi ketika sedang bertugas mengetuai bacaan khatam al-Quran dan tahlil. Saat membaca satu ayat al-Quran, suaranya mulai lemah tapi terus mencuba,” katanya.

Alwy berkata Taslimah adalah antara ustazah yang kerap bertugas memimpin doa dan pengajian di masjid berkenaan.

Sebelum meninggal, Alwy berkata Taslimah tidak menunjukkan tanda-tanda sakit ketika tiba di Masjid As Syafiiyah sebelum jam 6 pagi dan sempat menziarahi kubur yang berada di sekitar masjid.

“Pada awalnya jemaah fikir Ustazah Taslimah pengsan dan berusaha membawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply