WANITA KEMATIAN SUAMI DIBENAR BEKERJA DARI RUMAH – ISMAIL SABRI

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkasakan wanita Malaysia dengan mengumumkan inisiatif antaranya wanita yang kematian suami dibenarkan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketua jabatan dan pengurusan tertinggi semua organisasi diwajibkan membenarkan wanita yang kematian suami untuk BDR bagi membolehkan urusan keluarga serta peninggalan suami diselesaikan.

Inisiatif itu juga sebagai tanda memahami kesedihan dan bebanan yang ditanggung oleh wanita yang kematian suami.

Selain itu, Ismail Sabri memaklumkan cadangan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam bermodal besar dijangka berkuat kuasa 1 September ini manakala bagi syarikat tersenarai lain pelaksanaannya dijangka pada 1 Jun tahun depan.

“Bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan wanita, sambutan Hari Wanita wajib dilaksanakan pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan atau negeri,” katanya dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Wanita 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan yang sama, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkasakan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah bagi membantu wanita yang perlu menghadapi proses perceraian panjang.

“Hakam satu kaedah yang diperkenal Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bagi mengatasi masalah kes-kes perbicaraan berkaitan perceraian yang mengambil masa sehingga memudaratkan pasangan yang ingin bercerai,” katanya.

Selain itu kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Wanita Negara dan mewujudkan Rang Undang-Undang Anti Gangguan Seksual (RUU AGS).

Tambahnya kerajaan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan iaitu pihak bank boleh membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah.

Beliau berkata, pihak bank dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang sudah dibekukan itu kepada isteri sekiranya isteri ada membuat tuntutan yang membabitkan wang Ringgit di mahkamah dan kaedah ini dikenali sebagai Hiwalah.–AlHijrah Online

Leave a Reply