WANITA MAUT DILANGGAR PEMANDU MABUK

Kajang: Seorang wanita maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar pemandu kereta mabuk ketika melintas jalan di Jalan Banting-Kajang (Jalan Reko) berhampiran simpang masuk ke Taman Sri Langat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian itu, pemandu dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat, Kajang.

Katanya, kaunter aduan pejabat pertanyaan Balai Polis Trafik Kajang menerima panggilan memaklumkan kejadian kemalangan itu pada jam 8.15 malam.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu terbabit melanggar dua wanita yang sedang melintas jalan kemudian melanggar dua kereta yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.

“Akibat daripada kemalangan itu, seorang mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Serdang manakala seorang lagi mangsa yang turut cedera parah menerima rawatan di Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk menjalani ujian saringan awal kandungan alkohol.

“Hasil ujian yang dijalankan terhadap pemandu adalah positif di bawah pengaruh alkohol.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar bagaimana kemalangan  berlaku, sama ada terdapat unsur lain,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan di Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi membantu siasatan,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply