WARGA EMAS TULAR ALAMI RUAM AKIBAT KESAN SAMPINGAN VAKSIN COVID-19 TIDAK BENAR

Sumber gambar: AFP, Twitter

IPOH: Dakwaan kononnya seorang lelaki warga emas mengalami kesan sampingan pada kulit akibat suntikan vaksin COVID-19 di sebuah klinik kesihatan di daerah Kuala Kangsar seperti yang tular pada Ahad lepas adalah tidak benar, sebaliknya dia disahkan menghidap kayap.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata warga emas itu hadir seorang diri ke Klinik Kesihatan Padang Rengas untuk rawatan susulan penyakit kronik Dyslipidemia (penyakit kulit) pada 6 April lepas dan semasa sesi konsultasi di bilik rawatan, pegawai perubatan mendapati beliau belum pernah menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Memandangkan beliau mempunyai masalah logistik dan sukar untuk datang ke klinik semula sekiranya terpaksa hadir untuk dos kedua, pegawai perubatan telah memberikan kaunseling mengenai suntikan dos tunggal vaksin CanSino.

“Beliau bersetuju untuk menerima suntikan tersebut serta telah menandatangani borang persetujuan vaksinasi COVID-19 dan disuntik pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Ding berkata warga emas itu kemudian hadir semula di ke Klinik Kesihatan Padang Rengas bersama seorang waris kira-kira pukul 3 petang pada 8 April dan mengadu mengalami ruam pada bahagian kiri atas dada, leher dan bahu.

Menurutnya, pesakit itu kemudian telah dirujuk untuk rawatan lanjut di Klinik Pakar Dermatologi Hospital Taiping pada Isnin dan menerima rawatan di Klinik Pakar Dermatologi.

“Pakar Dermatologi telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil sampel bagi ujian makmal ‘Tzanck Smear’ dan keputusan adalah positif. Beliau telah disahkan menghidap penyakit ‘Herpes Zoster’ atau kayap dan telah diberikan ubat antiviral serta ubat tahan sakit,” katanya.

Beliau berkata pesakit itu juga telah diberikan tarikh janji temu susulan di klinik pakar pada 19 Mei ini dan keadaan pesakit kini adalah stabil serta dirawat sebagai pesakit luar.

Pada Ahad, seorang pengguna laman sosial Twitter memuat naik gambar warga emas dikatakan datuknya yang mengalami ruam pada bahagian badan dan mendakwa doktor yang membuat pemeriksaan kesihatan memaksa datuknya mengambil suntikan vaksin tanpa dokumentasi dan laporan persetujuan malah tidak bertanyakan jenis vaksin yang diambil warga emas itu sebelum ini.

Pengguna Twitter itu turut mendakwa datuknya mengalami kegatalan dan kulit mula bernanah selepas pulang dari klinik berkenaan sehingga tidak dapat memakai baju dengan baik. –AlHijrah Online

Leave a Reply