WHO GESA BENUA AFRIKA SEDIA BERDEPAN PENULARAN WABAK COVID-19

KIGALI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berkata negara di benua Afrika perlu meningkatkan tahap persediaan dan langkah pencegahan untuk menghalang penularan wabak COVID-19, apabila kes kedua jangkitan disahkan berlaku di benua itu, lapor agensi berita Anadolu.

Kementerian Kesihatan Algeria mengesahkan kes COVID-19 pertama, selepas seorang lelaki warga Itali yang tiba di negara itu pada 17 Feb positif dijangkiti virus berkenaan.

Algeria satu dari 13 negara menjadi keutamaan WHO untuk langkah-langkah persediaan memandangkan ramai penduduk negara itu melakukan perjalanan ke China.

WHO berjanji untuk menghantar pasukan pakar ke Algeria bagi membantu pihak berkuasa kesihatan negara berkenaan.

Pada mesyuarat tergempar dengan menteri-menteri kesihatan Afrika di Suruhanjaya Kesatuan Afrika di Addis Ababa, Ethiopia Sabtu lalu, WHO berikrar membantu negara di benua itu menangani COVID-19.

Pengarah Wilayah WHO untuk Afrika dalam satu kenyataan berkata terdapat jurang mengenai tahap persediaan antara negara di seluruh benua itu.

WHO mendapati tahap persediaan sekitar 66 peratus.

COVID-19, pertama kali dikesan di China pada Disember 2019 dan menular ke lebih 30 negara lain, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Perancis, Rusia, Sepanyol dan India.

Di China, jumlah kematian akibat wabak itu mencecah sehingga 2,663 orang pada Selasa, dengan hampir 76,700 kes disahkan. — BERNAMA

Leave a Reply