REJIM SYRIA TIDAK AKAN MENANG DI IDLIB: POMPEO

Last Updated on

ANKARA: Rejim Syria tidak akan mencapai kemenangan di Idlib dan pergolakan di Idlib hanya meningkatkan risiko konflik dengan Turki, kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo.

“Serangan ganas rejim Assad disokong Moscow dan Tehran menjejaskan lebih tiga juta orang,” kata Pompeo kepada wartawan dipetik agensi berita Anadolu.

“Seperti yang berlaku sebelum ini, rejim tidak akan mencapai kemenangan tapi serangan ofensif hanya meningkatkan risiko konflik dengan sekutu NATO kita, Turki,” katanya.

Katanya, jalan penyelesaian bagi konflik Syria adalah gencatan senjata kekal dan rundingan di bawah resolusi 2254 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana Trump juga sedang bekerjasama dengan Turki bagi mencari penyelesaian.

Turki dan Rusia mengisytiharkan barat laut Syria, Idlib sebagai zon de-ekskalasi pada September 2018, di mana sebarang tindakan keganasan adalah dilarang.

Tetapi rejim dan sekutunya, termasuk pasukan yang disokong Iran, mencabuli gencatan senjata dengan melancarkan serangan di dalam wilayah konflik itu.

Turki menggesa gencatan senjata dipatuhi dan memberi amaran akan bertindak jika serangan diteruskan.

Zon de-ekskalasi itu kini dihuni empat juta orang awam, termasuk ratusan ribuan yang hilang tempat tinggal akibat perang. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply