WUJUD SISTEM JAMINAN KHAS BAGI TAHANAN KANAK-KANAK

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan satu sistem jaminan secara percuma bagi kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Profesor Datuk Noor Aziah Awal berkata, perkara itu bagi memastikan hak kanak-kanak tersebut dipelihara selain membantu golongan kurang berkemampuan.

“Kanak-kanak ada banyak latar belakang. Kalau ibu bapa mampu, dia boleh jamin. Kalau tidak mampu, nak jamin dengan apa? Yang penting, dia ialah kanak-kanak dan dia ada hak tertentu,” katanya kepada Berita AlHijrah.

Jelasnya lagi, kes jenayah bagi kanak-kanak perlu dikendali selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 di mana kanak-kanak tersebut tidak boleh digari dan ibu bapa perlu dimaklumkan dengan keberadaan anak mereka.

Selain itu, tahanan kanak-kanak juga tidak boleh bergaul dengan tahanan dewasa di dalam lokap yang sama.

“Dalam kes kanak-kanak, ada peruntukan (guaman percuma). Tapi masalahnya dia perlu mohon. Yang kami minta ialah secara automatik.

“Maksudnya apabila kanak-kanak dituduh di mahkamah, ada barisan peguam yang telah disediakan oleh Bar Council (Majlis Peguam) atau Jabatan Bantuan Guaman untuk mereka ambil alih kes itu supaya mereka boleh pergi ketika kanak-kanak itu disiasat.

“Ada perkara yang kanak-kanak itu perlu dinasihatkan. Dia kanak-kanak, dia mungkin boleh cerita apa yang berlaku. Disebabkan dia kanak-kanak, dia mungkin takut dan diugut. Ini pentingnya ada peguam untuk kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini tiada peruntukan undang-undang yang jelas di mana kanak-kanak yang ada konflik undang-undang diberi bantuan guaman percuma.

Semalam, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial (JKPK) mencadangkan 6 syor antaranya memberikan khidmat guaman percuma bagi semua kanak-kanak yang menghadapi konflik undang-undang dari peringkat tahanan sehingga selesai proses pengadilan jenayah. – AlHijrah Online

Leave a Reply