YADIM SASAR TUBUH 222 PASUKAN SUKARELAWAN AL-RAHMAH DI SELURUH NEGARA

BATU PAHAT: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyasarkan penubuhan 222 pasukan Sukarelawan al-Rahmah (SAR) di seluruh negara menjelang tahun depan, berbanding hanya 76 pasukan sahaja setakat ini.

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Ab Aziz berkata buat masa ini pasukan berkenaan mempunyai lebih kurang 10,000 ahli di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan setiap kawasan Parlimen di negara ini mempunyai sekurang-kurangnya satu pasukan SAR.

Beliau berkata Johor mencatatkan negeri paling banyak mempunyai pasukan sukarelawan itu dengan 26 pasukan sudah ditubuhkan, di mana setiap kawasan Parlimen mempunyai satu pasukan.

“Tujuan utama pasukan ini ditubuhkan adalah untuk turut serta dalam aktiviti kebajikan dan dalam masa yang sama terlibat dalam gerak kerja dakwah di lapangan dengan memfokus kepada program kemasyarakatan.

“Sukarelawan ini juga merupakan pasukan beruniform yang ditubuhkan Yadim bagi kesedaran kepada perjuangan untuk agama serta melatih individu untuk lebih berdisiplin,” katanya semasa pelancaran pasukan SAR Johor, di sebuah hotel, di sini hari ini.

Menurut Nik Omar visi sukarelawan itu adalah untuk melahirkan satu pasukan yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi kesejahteraan insan sejagat.

“Selain itu, ia juga berperanan sebagai tenaga penggerak ke arah mencapai matlamat gagasan Rahmatan Lil Alamin, yang turut menjadi pelindung kepada kestabilan negara demi memelihara dan meningkatkan martabat agama Islam dan keharmonian hidup bermasyarakat,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply