KUALA LUMPUR: Seramai tujuh orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Nibong Tebal yang terlibat dengan kes buli, disyorkan ditamatkan pengajian.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebooknya semasa berkongsi keputusan Jawatankuasa Disiplin Maktab berhubung kejadian.
Keputusan tersebut menyatakan daripada tujuh yang terlibat, seramai dua orang yang melakukan buli fizikal manakala lima lagi bersubahat dalam kejadian.
“Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam BULI, tindakan tegas dan keras akan diambil,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Jelas Asyraf, tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” katanya lagi.
Terdahulu polis membuka satu kertas siasatan Beth unsung insiden buli melibatkan sekumpulan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Nibong Tebal mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.–AlHijrah Online