1,000 KUOTA GURU TAKMIR DITAMBAH, GURU KAFA WANITA CUTI BERSALIN TERIMA ELAUN

KUALA NERUS: Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menambah sebanyak 1,000 kuota perjawatan bagi guru takmir di seluruh negara pada tahun ini, melibatkan kenaikan jumlah peruntukan sebanyak RM10.8 juta setahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pertambahan kuota tersebut juga menjadikan jumlah keseluruhan guru takmir pada tahun ini adalah seramai 5,000 orang.

“Dengan penambahan kuota tersebut ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM54 juta. Dalam masa terdekat, JAKIM akan melaksanakan pengagihan kuota guru takmir seramai 1,000 orang ini berdasarkan nisbah jumlah masjid dan surau di seluruh negara,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Seberang Takir di sini hari ini.

Idris mengulas, keperluan pengajaran guru-guru takmir tersebut kini tidak terhad di masjid dan surau sahaja malah mereka akan turut mengajar di agensi-agensi lain seperti institusi penjara, institusi warga emas dan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam perkembangan lain, beliau berkata secara keseluruhan, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65.58 juta kepada imam, bilal, guru takmir dan guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Terengganu pada tahun ini.

Jumlah tersebut meliputi peruntukan elaun keseluruhan sebanyak RM45.08 juta dan bayaran bantuan khas tahun 2022 keseluruhan berjumlah RM1.64 juta kepada 3,276 guru KAFA di seluruh negeri.

“Ianya sebagai penghargaan kepada guru KAFA di Terengganu yang berperanan penting sebagai ‘murabbi ummah’ dalam mendidik kanak-kanak pada peringkat awal untuk memastikan generasi masa depan negara mempunyai asas agama yang kukuh,” katanya.

Dalam pada itu Idris berkata, sebagai menghargai jasa guru KAFA bermula Januari ini, guru KAFA wanita di seluruh negara yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun, berbanding dengan sebelum ini mereka tidak dibayar elaun sepanjang cuti bersalin. –AlHijrah Online

Leave a Reply