13 TAHUN BERSIARAN, TV ALHIJRAH AKAN TERUS MEMPERKAYAKAN KANDUNGAN ISLAM PELBAGAI GENRE

KUALA LUMPUR: 1 Muharram 1445H genap 13 tahun stesen televisyen Islam utama negara TV AlHijrah bersiaran.
Stesen televisyen di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri dan melapor kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memulakan siaran secara rasmi pada 1 Muharam 1432H bersamaan 7 Disember 2010.
Sepanjang tempoh 13 tahun, TV AlHijrah sentiasa berusaha untuk menghidangkan kandungan rancangan yang ‘trending’, terkini, relevan, membaja nurani, mendekatkan dan berkualiti.
Pencapaian TV AlHijrah boleh dinilai menerusi beberapa pengiktirafan terhadap stesen televisyen itu sebagai peneraju penyampaian nilai Islam.
Tahun ini sahaja, tiga anugerah telah diraih TV AlHijrah iaitu ‘Asia Excellence in Islamic & MulticulturalBroadcasting’ di Jakarta, Indonesia; Anugerah Corporate Media Company of The Year-Malaysia di Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23; dan Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA2023) bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata pengiktirafan yang diterima tidak membuatkan pihaknya selesa malah menjadi inspirasi untuk terus melangkah mendidik masyarakat tentang nilai dan gaya hidup Islam.
Tambahnya sepanjang 13 tahun bersiaran, TV Alhijrah telah memainkan peranan menerbitkan pelbagai kandungan Islam yang bermanfaat serta menjadi rujukan penonton dan tahun ini usaha itu akan dipertingkatkan dengan penawaran program Islam pelbagai genre.
“TV AlHijrah akan memperkayakan penawaran kandungan Islam dalam pelbagai format dan genre serta mempelbagaikan kaedah penyampaian rancangan secara berkesan.
“Justeru, tahun 2023 menyaksikan dua Program Modul Realiti impak tinggi akan dihidangkan buat penonton TV AlHijrah iaitu Akademi Daie Muda YADIM dan Marhaban,” katanya.
Sempena ulang tahun TV AlHijrah juga, sebuah kandungan baru diperkenalkan iaitu Waalaikumsalam yang akan menjadi program untuk penonton muhasabah diri, melihat semula apa yang berlaku dalam kehidupan harian, serta memohon maaf dan memaafkan orang lain.
Waalaikumsalam memulakan siaran khas pada 19 Julai 2023 pada jam 11 malam hingga 12 tengah malam sebelum bersiaran setiap minggu pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad jam 11.30 malam hingga 12 tengah malam.
Selain itu program bual bicara terkenal TV Alhijrah, Analisis juga akan berwajah baru bermula 31 Julai 2023 sempena ulang tahun TV AlHijrah.
Dengan kandungan yang lebih sarat dengan perbincangan dan kupasan isu-isu semasa, Analisis akan turut bertukar waktu siaran iaitu pada setiap Isnin, 10 malam.
Sementara itu Namanzee berkata, sempena Sambutan Ulang Tahun TV AlHijrah ke 13, stesen tv itu menerbitkan sebuah buku yang diadaptasi dari program ‘Cinta Ilmu’ yang telah bersiaran sebanyak 15 musim di TV AlHijrah.
Buku ‘Cinta Ilmu: Indahnya Hidup Beragama Dengan Ilmu’ dihasilkan agar penonton mudah untuk jadikan rujukan terhadap topik-topik berkaitan fiqah, akidah, dan ibadah.

Jualan buku tersebut akan bermula esok, 19 Julai 2023 dan boleh didapati menerusi atas talian di https://ikramacademy.onpay.my/order/form/bukucintailmu.
Namanzee berharap TV AlHijrah akan terus menerima sokongan penonton dan stesen tv itu komited untuk terus berkongsi ilmu-ilmu berkaitan Islam merentasi platform tv dan digital.

Dalam pada itu sempena Awal Muharram, TV Alhijrah akan menyiarkan program-program menarik antaranya Assalamualaikum Khas Ulang Tahun TV AlHijrah dan Maal Hijrah, Quran@114 Maal Hijrah, Peristiwa Hijrah 1445H dan Hijrah Berselawat. – AlHijrah Online