14 MAYAT DITEMUKAN DI LOKASI NAHAS PESAWAT NEPAL

Sumber Gambar: AFP

KATHMANDU: Empat belas mayat ditemukan di lokasi nahas pesawat penumpang Nepal di kawasan berbukit terpencil di daerah Mustang Nepal, lapor Xinhua, memetik Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal pada Isnin.

“Empat belas mayat ditemukan di lokasi tetapi identiti mereka masih belum didedahkan,” kata agensi penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Pesawat Twin Otter itu membawa 19 penumpang dan tiga anak kapal apabila terputus hubungan pada pagi  Ahad, beberapa minit setelah berlepas dari bandar Pokhara, Nepal menuju ke bandar pergunungan Jomsom di daerah Mustang. Empat warga India dan dua warga Jerman turut berada di dalam pesawat itu. 

Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat yang diketuai oleh Tentera Nepal.

Pasukan penyelamat dengan 11 anggota berada di lokasi nahas untuk mencari mayat mangsa, dan disebabkan keadaan cuaca buruk tiada pasukan lain dapat terbang ke lokasi, ketua pegawai daerah Mustang Netra Prasad Sharma memberitahu Xinhua.

“Kawasan itu mendung sehingga mengganggu jarak penglihatan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply