15 TERBUNUH SERANGAN MASJID DI BURKINA FASO

Foto REUTERS

OUAGADOUGOU: Penembak membunuh sekurang-kurangya 15 orang dalam satu serangan ke atas sebuah masjid di timur laut Burkina Faso ketika solat petang Jumaat lalu, demikian menurut sumber keselamatan dan pegawai tempatan.

Agensi berita REUTERS melaporkan penembak memasuki masjid di Kampung Salmossi di wilayah Oudalan bersempadan dengan Mali dan melepaskan tembakan.

Laporan yang memetik sumber keselamatan itu berkata, ramai jemaah yang sedang solat cedera, manakala identiti penembak juga masih belum dikenalpasti.

Kumpulan pengganas yang ada kaitan dengan militan Kumpulan Negara Islam (IS) dan Al Qaeda menyusup masuk ke Burkina Faso tahun ini melalui Mali, menyebabkan ketegangan etnik dan agama, di wilayah utara negara itu.

Serangan itu menggemparkan Burkina yang secara relatifnya aman sebelum ini dan menyebabkan kawasan seperti Sahel tidak lagi selamat.

Jumlah mereka yang melarikan diri dari kawasan terjejas meningkat enam kali ganda sejak Januari lalu kepada 500,000 orang, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi bantuan pada Jumaat.

Minggu lalu, 20 terbunuh dalam serangan dipercayai didalangi kumpulan jihadis di kawasan lombong emas di wilayah utara. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply