Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

150 ASNAF TERPILIH SERTAI PROGRAM DEA BANTU TINGKAT PENDAPATAN

DALAM NEGARA

150 ASNAF TERPILIH SERTAI PROGRAM DEA BANTU TINGKAT PENDAPATAN

Sebanyak 150 usahawan asnaf terpilih menyertai Projek Digital Entrepreneur Asnaf (DEA) di bawah Program Pembangunan Ekonomi Sekretariat Dakwah Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai platform bagi meningkatkan pendapatan golongan itu. 

Sumber Gambar: BERNAMA

MELAKA: Sebanyak 150 usahawan asnaf terpilih menyertai Projek Digital Entrepreneur Asnaf (DEA) di bawah Program Pembangunan Ekonomi Sekretariat Dakwah Korporat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai platform bagi meningkatkan pendapatan golongan itu. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata projek itu diperkasakan melalui tiga strategi utama iaitu mengeluarkan golongan asnaf daripada kemiskinan dengan meningkatkan ekonomi mereka dan mengenal pasti potensi asnaf sebelum bergelar usahawan.

“Selain itu, ia turut melibatkan penyusunan program usahawan khusus untuk usahawan asnaf terlibat. 

“Kesediaan asnaf berubah menjadi usahawan yang berdaya saing akan memastikan objektif mengubah peserta kepada pembayar zakat akan tercapai,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Program DEA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Durian Tunggal di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM Dr Ruslan Said dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad Datuk Muzaffar Hisham.

Mengenai program tersebut, Zulkifli berkata ia dibiayai Maybank Islamic Berhad yang memperuntukkan RM500,000 daripada dana zakatnya, dengan kesemua peserta akan melalui empat fasa pembelajaran dan mendapat elaun bulanan sebanyak RM250 berserta ‘tablet’ dan ‘workbook’.

Beliau berkata Program DEA itu juga akan dikelolakan secara bersama dengan Sinergi Ilmu Resources Sdn Bhd, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), UTeM, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dan Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.

“Hasrat kita adalah untuk melahirkan usahawan asnaf yang siap sedia untuk terjun ke dalam pasaran yang diberi latihan dan pendedahan mengenai teknik perniagaan antaranya membabitkan pengurusan stok serta premis.

“Insya-Allah kita juga akan terus meneroka potensi lain. Selepas Melaka, program ini dirancang untuk diperluas ke negeri lain dan menarik lebih ramai penaja daripada sektor korporat selain rakan strategik sedia ada,” katanya.

Menurutnya peserta yang terpilih akan dipantau dari semasa ke semasa bagi tempoh sembilan bulan  bagi memastikan program itu bukan bersifat sekali beri.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading