20 maut dalam serangan tentera Afghanistan


KUALA LUMPUR  –  Serangan udara tentera Afghanistan yang menyasarkan komander Taliban di wilayah Kunar di Kabul, Afghanistan  kelmarin mengakibatkan 20 orang awam termasuk 12 kanak-kanak maut.

Menurut Reuters, serangan itu  merupakan siri operasi yang menyasar Komander Sharif Mawiya  yang dipercayai menjadi fasilitator bersama militan Al-Qaeda.

Gabenor Kunar, Abdul Satar Mirzakwal  dipetik sebagai berkata, operasi tersebut dijalankan tentera Afghanistan di Daerah Sheltan telah membunuh 38 Taliban dan ahli Al-Qaeda termasuk empat warga asing disamping mencederakan 12 orang.

“Kita juga telah menghantar pasukan pencarian ke tempat sasaran bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya kepada Reuters.

Mengikut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 313 orang awam terbunuh dan 336 cedera dalam serangan udara oleh Amerika Syarikat dan Afghanistan sehingga September lalu.

Ahli Majlis Wilayah itu, Abdul Latif Fazly  pula memberitahu, mangsa-mangsa terdiri daripada lapan wanita dan 12 kanak-kanak terbunuh serta 15 orang awam lain cedera dalam insiden berkenaan.

Sementara itu  jurucakap misi ‘Resolute Support’  yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menjelaskan bahawa mereka tidak melancarkan serangan udara di Kunar ketika masa kejadian berkenaan.

Leave a Reply