Arab Saudi kutuk campur tangan AS
KUALA LUMPUR – Arab Saudi mengutuk resolusi Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan bantuan ketenteraan di Yemen yang diketuai oleh Arab Saudi dan mengaitkan Putera Mahkota negara itu terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Kementerian Luar Arab Saudi menganggap tindakan itu sebagai campur tangan AS yang hanya berdasarkan tuduhan yang tidak dibuktikan kesahihannya, lapor BBC hari ini.
Bagaimanapun resolusi itu hanya simbolik dan tidak mungkin menjadi undang-undang. Walaupun begitu Arab Saudi telah memberi amaran kepada Presiden Donald Trump mengenai campur tangan AS terhadap dasar luar Arab Saudi.
Dalam satu kenyataan yang siarkan oleh Saudi Press Agency, Kementerian Luar Arab Saudi berkata, Arab Saudi mengutuk keras tindakan Kongres AS kerana mengambil ketetapan berdasarkan perkara yang tidak benar.
“Arab Saudi menolak sebarang campur tangan luar terhadap hal ehwal dalam negara Arab Saudi,” demikian menurut kenyataan Kementerian Luar itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Arab Saudi sebelum ini telah menegaskan bahawa pembunuhan Jamal Khashoggi adalah satu perbuatan jenayah yang tidak mencerminkan dasar kerajaan ataupun institusi tertentu.
Bagaimanapun setakat ini AS belum memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan Kementerian Luar Arab Saudi itu.
Undian hari Khamis adalah kali pertama Kongres AS mengundi untuk menarik pasukan tentera AS dari konflik ketenteraan di bawah Akta Kuasa Perang 1973.
Bagaimanapun Presiden Trump secara konsisten mempertahankan hubungan dagang dan ketenteraan antara AS dengan Arab Saudi.
Kongres juga sebulat suara meluluskan resolusi mengaitkan secara langsung Putera Mahkota Mohammed bin Salman dalam pembunuhan , Jamal Khashoggi pada 2 Oktober lalu di Konsulat Arab Saudi di Istanbul sambil menegaskan bahawa Arab Saudi bertanggungjawab terhadap pihak yang terlibat dengan kes itu.