23 ANGGOTA DAN PEGAWAI POLIS PAHANG DIBUANG KERJA

KUANTAN: Seramai 23 anggota dan pegawai polis Pahang telah diambil tindakan buang kerja kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tindakan itu dibuat selepas mereka didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai kesalahan.

Berdasarkan rekod seramai 14 anggota dan pegawai diambil tindakan dibuang kerja pada 2020 manakala sembilan orang pada 2021 dengan kesalahan tertinggi direkodkan ialah jenayah narkotik, rasuah dan salah guna kuasa diikuti jenayah-jenayah lain. 

“Saya tidak boleh terima apabila ada pegawai polis yang menagih dadah dan ini sesuatu yang sangat malang, penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi keramat ini.

“Kami tidak mahu polis Pahang mempunyai zombi yang bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja mereka, bahkan keluarga dan masyarakat keseluruhan. Implikasi dadah memang kita ketahui amat buruk, risikonya bukan sahaja kepada diri malah kepada mereka yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan.

Tambah Ramli, angka ini sangat membimbangkan dan tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan agar tidak terlibat melakukan kesalahan. – AlHijrah Online

Leave a Reply