10 BUAH SEKOLAH DIARAH TUTUP TIGA HARI

NIBONG TEBAL: Sejumlah 10 buah sekolah yang terletak berhampiran  Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diarah tutup selama tiga hari mulai esok hingga Jumaat ini.

Arahan itu susulan kebakaran di tapak pelupusan sampah berkenaan yang membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SJKT Ladang Changkat, SMK Methodist, SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Notis penutupan dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan itu selepas mesyuarat bencana daerah pada Isnin.

Keputusan dibuat selepas Indeks Udara di kawasan sekolah yang terletak dalam lingkungan radius 10 kilometer (km) dari tapak pelupusan sampah itu berada pada tahap kepekatan udara yang memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk.

Oleh itu, pihak sekolah diminta memaklumkan penutupan operasi sekolah kepada pengusaha kantin, pengusaha bas dan pihak-pihak lain yang berkaitan untuk tindakan persediaan awal.

Dalam pada itu, pihak PPD juga akan memaklumkan selewat-lewatnya pada Sabtu ini tentang status pengoperasian semula sekolah berdasarkan keputusan dan nasihat dari Jawatankuasa Bencana Daerah.

Sepanjang tempoh penutupan sekolah, murid akan melaksanakan Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Rabu minggu lepas , 6.5 hektar kawasan tapak pelupusan sampah yang berkeluasan 16.2 hektar itu terbakar dan masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya hingga hari ini

Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara mengesan kandungan gas yang boleh memberi risiko kesihatan. – AlHijrah Online

Leave a Reply