LARANGAN PEMAKAIAN SONGKOK, KOPIAH PETUGAS HOTEL TH DITARIK BALIK

KUALA LUMPUR: Pemakaian songkok dan kopiah terhadap kakitangan TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) semasa bertugas sudah ditarik balik pada hari yang sama ia dikeluarkan.

Pengurus THKJ Mohamad Nazrul Nazib Nasihin berkata, pihaknya merasakan terdapat kekeliruan berkenaan larangan tersebut.

“Sebenarnya, sejam setengah selepas itu, pada hari sama, saya sudah tarik balik surat, secara dalaman.

“Surat (penarikan balik) itu kami letakkan dalam kumpulan kami, platform dalaman. Jadi dalam platform yang sama juga kami beritahu,” katanya seperti dilapor FMT.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad mengarahkan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyelesaikan segera isu kakitangan THKJ yang dilarang memakai songkok dan kopiah sewaktu bertugas.

Menurutnya, memorandum yang dikeluarkan itu sepatutnya tidak menjadi satu isu.

“Tiada masalah sebenarnya (memakai songkok dan kopiah ketika bertugas) asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutup aurat dan seragam,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Beliau mengulas berkenaan memorandum bertarikh 14 Januari 2022 yang meminta semua anggota THKJ untuk tidak memakai songkok atau kopiah semasa bertugas kecuali ketika ingin menunaikan solat.

Dalam memorandum yang sama, anggota THKJ juga diminta berpakaian kemas termasuk memakai kasut bertutup serta menjaga kebersihan diri ketika bertugas.—AlHijrah Online

Leave a Reply