8,120 GURU BAHARU BOLEH SEMAK PENEMPATAN, LAPOR DIRI 1 MAC

KUALA LUMPUR: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara ‘one-off’ yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga boleh membuat semakan penempatan bermula semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidi berkata, guru-guru yang berjaya tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing bermula 1 Mac ini.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Tambah beliau pengambilan khas guru secara one-off yang melibatkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang telah berlarutan sekian lama.

Ujar Radzi, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik bagi mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Jelasnya, langkah itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply