SARAWAK TUKAR ‘KETUA MENTERI’ KEPADA ‘PREMIER’

Sumber Gambar: AFP

KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Negeri bagi menukar gelaran jawatan Ketua Menteri kepada Premier.

RUU tersebut diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga apabila 67 ahli dewan menyokongnya dengan enam menentang, sebelum dibentangkan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata pindaan tersebut seiring dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa minggu lepas.

Dalam penjelasan beliau, penggunaan ‘Premier’ bagi menggantikan ‘Ketua Menteri’ sama seperti yang diamalkan oleh negara-negara Komanwel lain.

“Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai Ketua Menteri,” katanya.

Rang undang-undang itu juga melibatkan pindaan istilah ‘Menteri Muda’ dalam Perlembagaan Sarawak kepada ‘Timbalan Menteri’, dengan pindaan gelaran jawatan itu perlu memandangkan tanggungjawab yang mereka pegang dan laksanakan.

“Nama jawatan ‘Menteri Muda’ ditukar kepada ‘Timbalan Menteri’ untuk lebih mencerminkan fungsi dan tanggungjawab mereka,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply