AGONG, RAJA PERMAISURI SELAMAT TIBA DI UNITED KINGDOM

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat tiba di London bagi lawatan khas ke United Kingdom (UK) selama 10 hari, bermula hari ini.

Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Luton, London pada 8 malam Jumaat waktu tempatan (3 pagi Sabtu waktu Malaysia).

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Zakri Jaafar dan isteri Nor Aini Abdul Rahman.

Dalam lawatan khas tersebut, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

Atur cara lawatan khas itu turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

Al-Sultan Abdullah turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst iaitu tempat Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan dari 1978 hingga 1979.

Seri Paduka turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Staf Pertahanan UK Sir General Nicholas Carter yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom.

Selepas lawatan khas berkenaan, Seri Paduka berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 Sept dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Okt.

Lawatan khas itu merupakan kali kedua Seri Paduka ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada Disember 2019, selama tujuh hari bermula 9 Dis 2019.

Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke UK.—AlHijrah Online

Leave a Reply