TANAH RUNTUH KEMENSAH: PEMBINAAN CERUCUK BESI PERLU DISEGERAKAN

KUALA LUMPUR: Pembinaan cerucuk besi perlu dilaksanakan segera bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah meminta pertimbangan serta peruntukan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan.

“Jika diikutkan kawasan ini merupakan tanah persendirian, jadi kerja-kerja membaik pulih mengikut undang-undang perlu dilakukan oleh pemilik tanah sendiri. Namun kali ini, nyawa rakyat lebih menjadi keutamaan jadi saya telah hubungi Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk tujuan itu,” katanya.

Azmin Ali yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata laporan penuh berkenaan kejadian tanah runtuh tersebut akan dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains dalam tempoh tiga hari.

Jelasnya, tempoh tersebut bagi memastikan kawasan rumah yang didiami penduduk itu selamat atau sebaliknya.

Semalam, seramai 28 buah keluarga yang menetap di 19 buah kediaman di Jalan Kemensah Height, di sini berjaya diselamatkan daripada kejadian tanah runtuh selepas diarah untuk mengosongkan kediaman mereka.

Bagaimanapun, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dan kesemua mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail memaklumkan kejadian tanah runtuh tersebut dipercayai akibat pergerakan aliran air di bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan tersebut.

Jelasnya, aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam semalam, yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.–AlHijrah Online

Leave a Reply