Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

AHMAD SAMSURI ANGKAT SUMPAH SEBAGAI MENTERI BESAR TERENGGANU

DALAM NEGARA

AHMAD SAMSURI ANGKAT SUMPAH SEBAGAI MENTERI BESAR TERENGGANU

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, Kuala Terengganu hari ini.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu di Istana Syarqiyyah di Chendering, hari ini. –fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat sini hari ini.

Ahmad Samsuri, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang, melafazkan sumpah memegang jawatan tersebut di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 3.18 petang.

Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Samsuri akan menerajui pentadbiran negeri setelah gabungan PAS dan Bersatu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada pilihan raya negeri Sabtu lepas.

Beliau memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan Suhaimi Sulaiman.

Bapa kepada enam orang anak itu pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS yang juga bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2008 hingga 2018.

Ahmad Samsuri buat pertama kalinya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dan meraih kemenangan dengan majoriti 6,028 di kerusi DUN Ru Rendang menewaskan calon Barisan Nasional Nik Dir Nik Wan Ku, dan selepas itu beliau diangkat menjadi menteri besar.

Lebih dikenali sebagai Dr Sam, bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu pernah menjadi antara rujukan penting dalam mengupas misteri kehilangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan insiden nahas pesawat MH17.

Sepuluh ADUN yang akan menganggotai Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu turut mengangkat sumpah pada istiadat yang sama.

Mereka ialah Dr Azman Ibrahim (Jabi), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Maliaman Kassim (Ajil), Datuk Satiful Bahari Mamat (Paka), Datuk Razali Idris (Kijal), Hanafiah Mat (Chukai), Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera). –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading