MENTERI AGAMA RESPON VIDEO TULAR, SERU UMAT ISLAM MARTABAT UNDANG-UNDANG SYARIAH

KUALA LUMPUR: Umat Islam diseru supaya memartabatkan undang-undang syariah yang merupakan tanggungjawab bersama dan Kerajaan Perpaduan sentiasa komited memastikan kedudukannya sentiasa dilindungi di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata demikian dalam satu kenyataan respon kepada rakaman video di laman Youtube bertajuk “5 Perkara Bakal Timpa Umat Islam Dalam Tempoh 3 Bulan Selepas PRN!!!”.
Beliau menegaskan bahawa perkara-perkara yang disebutkan dalam video tersebut adalah terkait dengan kedudukan undang-undang jenayah Syariah dan isu pengislaman kanak-kanak.
“Kenyataan di dalam video tersebut berkenaan kedudukan undang-undang jenayah Syariah yang akan dicabar di dalam kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan adalah satu andaian dan anggapan semata-mata.”
“Seperti yang pernah saya nyatakan, kes tersebut berada pada peringkat Pendengaran Kes di Mahkamah Persekutuan Malaysia dan sebarang komentar berkaitan kes ini diklasifikasikan sebagai sub judice – sedang dipertimbangkan oleh mahkamah dan tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai.” katanya.
Tambahnya, selain itu, Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah Syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun Islam.
Peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh Sultan dan Raja Pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan.
Tegasnya, berkenaan isu pengislaman kanak-kanak mualaf, kenyataan yang dibuat dalam video itu adalah satu anggapan dan andaian sahaja.
“Beliau tidak mengemukakan sebarang data dan fakta untuk menyokong andaian tersebut.”
“Kes-kes pengislaman kanak-kanak akan diputuskan berdasarkan undang-undang sedia ada di mahkamah-mahkamah Syariah.” ujarnya.
Mohd Na’im turut mengingatkan supaya terus menjaga perpaduan yang harmoni dan menjauhi isu perpecahan melibatkan 3R (Raja, Agama dan Kaum).
Terdahulu, tular sebuah klip video bertajuk “5 Perkara Bakal Timpa Umat Islam Dalam Tempoh 3 Bulan Selepas PRN!!!” bertarikh 12 Ogos.
Video berdurasi 9.03 minit itu memaparkan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Nizam,Setiausaha Agong Pembela turut mengulas beberapa isu lain. –AlHijrah Online