AIDILFITRI: BOLEH RENTAS NEGERI ATAU TIDAK, TUNGGU MEI INI

Sekatan jalan raya bagi mengelak perjalanan rentas negeri tanpa alasan munasabah.

PUTRAJAYA: Ketetapan sama ada rakyat Malaysia dibenarkan merentas negeri pada musim perayaan Aidilfitri hanya akan ditentukan Mei ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada 13 Mei 2021, bersamaan 1 Syawal 1442 Hijrah.

Jelas Ismail Sabri, keputusan itu nanti akan mengambil kira situasi semasa penularan wabak COVID-19.

“KKM akan beri nasihat kepada jawatan kuasa teknikal atau sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada dibenarkan (merentas negeri) atau tidak.”

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan)

Kata Ismail Sabri lagi, andai pada Mei nanti, kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) adalah baik dan kes baharu turun kepada 500 sehari, maka KKM akan membuat penilaian risiko dan menasihati pihaknya.

“Jadi, mana-mana yang mahu balik kampung, sama-samalah kita berdoa.”

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Menteri Kanan (Keselamatan)

Ismail Sabri turut mengesahkan sebanyak 32 kluster wujud sebelum ini akibat daripada pergerakan rentas negeri.

Ketika ini, kes jangkitan COVID-19 masih kekal empat angka, namun trend menunjukkan penurunan dari semasa ke semasa.

Hari ini sahaja, 1,213 kes dicatatkan dengan tiga kematian dilaporkan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata setiap negeri dan daerah perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan persekutuan bagi penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri yang akan datang.–AlHijrah Online

Leave a Reply