AIR PASANG MERAH: KERANG-KERANGAN DI PERAIRAN PULAU PINANG TIDAK SELAMAT DIMAKAN

BAYAN LEPAS: Hasil kerang-kerangan di perairan Pantai Teluk Bahang, Bayan Lepas, Pulau Pinang tidak selamat dimakan susulan fenomena air pasang merah minggu lalu.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli dan makan hasil laut itu dari perairan Teluk Bahang sehingga Sungai Pinang.
Mengulas mengenai bahaya tersebut, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap menjelaskan, berbeza dengan ikan yang boleh dimakan, isi kerang-kerangan tersebut boleh mengandungi toksin kerana alga spesis Noctiluca Scintillans.
“Alga yang mengandungi toksin tersebut menyerang insang dan menyebabkan ikan sukar untuk bernafas seterusnya menyebabkan kematian. Namun, ikan tersebut tiada racun dan selamat untuk dimakan lebih-lebih lagi manusia kebiasaannya tidak makan insang.
“Tetapi jika kerang-kerangan ia berbahaya kerana ia berada di keseluruhan isi kerang-kerangan,” katanya.
Menurut Mohd Ghazali, walaupun fenomena tersebut tidak menjejaskan hasil laut di kawasan perairan Perak, pemantauan rapi dilakukan secara berkala bagi memastikan kualiti air di negeri itu berada dalam keadaan selamat.
Katanya, fenomena air merah yang berlaku disebabkan ledakan alga spesis Noctiluca Scintillans tersebut telah disahkan namun tidak berbahaya kepada manusia.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program kesedaran pematuhan pensijilan MYGAP dan taklimat penggunaan sistem ekanMAS dI Taiping, hari ini.
Minggu lalu, beberapa nelayan sekitar kawasan Teluk Bahang sehingga ke Sungai Pinang, Balik Pulau menyuarakan rasa bimbang dengan fenomena air merah itu yang didakwa berlaku sejak 26 Ogos lepas.
Fenomena itu telah menyebabkan ikan dan hidupan laut lain mati bermula kira-kira satu kilometer dari kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai, Teluk Bahang.
Noctiluca Scintillans pernah menyebabkan ledakan sehingga air laut menjadi merah jambu dan ikan dalam sangkar mati di perairan Kuala Gula, Parit Buntar pada 2016. — AlHijrah Online
Apa asas berita ni?