NAHAS SEGAMAT: PEMANDU LORI ADA 8 SAMAN AKTIF

KUALA LUMPUR: Pemandu lori membawa muatan pasir yang terlibat dalam nahas enam beranak maut di Segamat pada 1 September lalu, memiliki tujuh saman aktif daripada 19 rekod saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pemandu kenderaan VEE 4751 itu turut mempunyai satu rekod saman aktif Polis Diraja Malaysia (PDRM).

APAD turut memaklumkan laporan teknikal siasatan kemalangan tragis itu dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Agensi itu akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori membawa muatan pasir.

“Berdasarkan laporan yang diterima, didapati lori berkenaan dipercayai telah gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang dan kanan kenderaan malang berkenaan.

“APAD telah mengambil tindakan susulan dengan mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali berlesen yang terlibat bertarikh 4 Sept 2023,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, APAD boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dengan merujuk kepada kesalahan melanggar syarat berkanun lesen pengendali di bawah seksyen 58(1) Akta 715.

Di bawah Seksyen 62 Akta 715, pengendali berlesen dan pemandunya bertanggungjawab dalam memberikan keutamaan yang paling tinggi kepada keselamatan penumpang dan pengguna jalan yang lain.

Akta tersebut menetapkan mana-mana pengendali yang didapati melanggar mana-mana syarat lesen boleh dikenakan tindakan dan sekiranya disabitkan kesalahan didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih dari RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, APAD berkata JPJ sedang dalam tindakan menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan JPJ (JISA) terhadap syarikat Sepadu Ikhlas Sdn Bhd berhubung kemalangan tersebut.

JPJ akan melaksanakan audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) oleh JPJ untuk menentukan keperluan tindakan undang-undang yang boleh diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah–Kaedah di bawahnya.

Nahas pada 1 Sept lalu melibatkan meragut nyawa pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46 dan Norahimah Noor Muhammad, 43 serta empat anaknua Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10 dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Seorang lagi mangsa kemalangan, Abdullah Amir Ruddin, 15, masih mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat.—AlHijrah Online

Leave a Reply