AJAL SEBELUM SOLAT DI MASJID, WARGA EMAS MAUT DILANGGAR KERETA

MARANG: Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika sedang melintas jalan untuk menunaikan solat di Masjid Rhu Muda, di sini pada malam Ahad lalu.
Kejadian berlaku di jalan utama Kuala Terengganu-Kuantan di hadapan masjid berkenaan di Kampung Seberang Marang, di sini, kira-kira jam 8.50 malam.
Ketua Polis Daerah Marang Deputi Supt Mohd Zain Md Dris berkata, mangsa Esah Awang, 72, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa berjalan dari arah rumahnya yang terletak di sebelah pantai untuk melintas jalan ke Masjid Rhu Muda yang terletak di seberang jalan.
“Semasa melintas jalan, mangsa dilanggar sebuah kereta dipercayai datang dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu.
“Pihak polis sedang mengesan dan mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa dan pemandu itu belum tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.–AlHijrah Online