Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

AL-AZHAR GESA DUNIA SOKONG PENDIRIAN MESIR DAN NEGARA ARAB DALAM MEMBINA SEMULA GAZA

DUNIA

AL-AZHAR GESA DUNIA SOKONG PENDIRIAN MESIR DAN NEGARA ARAB DALAM MEMBINA SEMULA GAZA

Institusi Agama Mesir Al-Azhar Al-Sharif menegaskan rakyat Palestin berhak menentukan nasib mereka sendiri dan tiada siapa boleh memaksa mereka untuk menerima cadangan pemindahan secara paksa. 

Gambar ARKIB. Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Institusi Agama Mesir Al-Azhar Al-Sharif menegaskan rakyat Palestin berhak menentukan nasib mereka sendiri dan tiada siapa boleh memaksa mereka untuk menerima cadangan pemindahan secara paksa. 

Al-Azhar dalam kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook berkata semua negara perlu memberi sokongan penuh terhadap pendirian Mesir dan negara-negara Arab lain dalam usaha membina semula Gaza dengan syarat rakyat Palestin kekal di tanah air mereka. 

“Dunia perlu menghormati hak rakyat Palestin untuk hidup di tanah air sendiri dan membentuk sebuah negara bernama Palestin yang merdeka”, menurut kenyataan itu.

“Pada masa sama, masyarakat dunia juga perlu memberi tekanan maksimum demi perlaksanaan perjanjian menghentikan pencerobohan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin di Gaza”, katanya.

Institusi itu turut menyeru para pemimpin negara Arab dan masyarakat dunia menentang rancangan pemindahan yang sebenarnya bertujuan melemahkan perjuangan Palestin dan memaksa rakyatnya meninggalkan tanah air.

Al-Azhar berkata pengabaian masyarakat antarabangsa terhadap kezaliman yang menimpa rakyat Palestin akan membawa kepada ketidakstabilan dunia, dan ini akan menyebabkan penindasan kuasa besar yang berterusan terhadap golongan yang lemah.

Ia turut menggesa institusi-institusi agama di seluruh dunia berganding bahu dalam mempertahankan rakyat Palestin yang ditindas terus menerus di tanah air sendiri.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading