AL-SULTAN ABDULLAH AGONG PERTAMA PERINTAH NEGARA DENGAN EMPAT PERDANA MENTERI

KUALA LUMPUR: Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melalui pelbagai peristiwa dan pengalaman yang sukar buat baginda.
Al-Sultan Abdullah merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang telah diberikan keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri (PM) bersama empat Jemaah Menteri berlainan.
Perdana Menteri yang telah berkhidmat di bawah pemerintahan Seri Paduka bermula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad (PM ke-7), kemudian Tan Sri Muhyiddin Yassin (PM ke-8) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (PM ke-9).
“Tidak berapa lama kemudian, Perdana Menteri ke-9 pula telah memohon perkenan beta untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dan beta telah memperkenankan untuk Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.
“Setelah selesai PRU-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung. Makanya, sekali lagi amanah berat untuk memilih dan melantik seorang Perdana Menteri terpaksa digalas oleh beta. Betapa berat mata yang memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul.
“Dalam situasi Pasca PRU-15 yang lalu, bila mana tiada parti politik atau gabungan dominan yang telah memperolehi majoriti mudah, Perlembagaan Persekutuan menuntut beta untuk melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta telah memperolehi kepercayaan majoriti Dewan Rakyat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini.
Seri Paduka bertitah, bagi mencapai hasrat tersebut, baginda membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli-ahli Yang Berhormat untuk bermuafakat dan mencari kesepakatan atas prinsip perpaduan demi masa depan negara.
“Setelah mengambil pendekatan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan, pada 24 November 2022, beta telah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai PM ke-10.
“Beta berharap PM ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke Negeri Pahang Darul Makmur,” titah baginda.—AlHijrah Online