ANAK ISTIMEWA DISYAKI DIDERA DI RUMAH KEBAJIKAN

KUALA LUMPUR: Seorang anak istimewa yang menghidap sindrom down disyaki didera di sebuah rumah kebajikan, sejak setahun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, seorang pengguna Facebook yang mendedahkan kejadian itu mendakwa, remaja perempuan berusia 13 tahun itu dijadikan sebagai anak angkat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini.

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan pemilik, petugas dan beberapa penghuni rumah kebajikan tersebut telah dijangkiti wabak COVID-19.

“Senarai nama penghuni telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut, namun namanya tidak dimasukkan ke dalam senarai,” katanya kepada Sinar Harian.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan sehingga individu yang tidak ingin dikenali mencari peluang untuk masuk ke dalam rumah kebajikan tersebut.

“Bila tengok namanya tiada dalam senarai, dia rasa pelik kerana mereka seperti ingin menyembunyikan sesuatu. Jadi individu tersebut bawa makanan ke rumah kebajikan dan dapat jumpa kanak-kanak itu.

“Dia terkam lalu menangis, seolah-olah dalam keadaan trauma,” katanya.

Tambahnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan remaja tersebut tiada dalam senarai berikutan dia telah didera dan perbuatan keji itu cuba dilindungi.

“Dia didapati positif COVID-19 apabila dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan menerima rawatan selama 10 hari sebelum dihantar pulang ke rumah kebajikan yang menjaganya sebelum ini.

“Kecederaan dia sangat serius. Apabila pihak hospital tanya siapa yang buat, dia akan sebut ‘bonda’ dan ‘mama’ serta beritahu dia telah diikat serta disiram air panas,” katanya.

Individu yang melaporkan kejadian tersebut berharap kes berkenaan disiasat agar pelaku tersebut dihukum di muka pengadilan.

Pemilik Facebook tersebut turut memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan keadaan remaja tersebut didera.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply