REMAJA SINDROM DOWN: MAHKAMAH TOLAK PERMOHONAN REMAN TERHADAP PEMILIK RUMAH KEBAJIKAN

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Mahkamah menolak permohonan reman terhadap pemilik rumah kebajikan milik badan bukan kerajaan (NGO) yang disyaki terlibat kes penderaan remaja sindrom down.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu kini telah dibebaskan.

“Pengasas rumah kebajikan di Setapak Kuala Lumpur telah ditangkap pada 15 Julai jam 10.36 pagi di kediamannya di Wangsa Maju.

“Permohonan reman telah dibuat pada hari ini namun mahkamah tidak meluluskan permohonan tersebut dan suspek dibebaskan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Abd Jalil turut memaklumkan siasatan kes telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada Selasa lalu bagi cadangan menuduh suspek serta tiga lagi individu lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 5(2) Akta Pusat Asuhan 1953.

Ujar Abd Jalil, polis turut menerima satu lagi laporan pada Rabu lepas bagi siasatan kes melibatkan kegagalan memberi jagaan dan pengawasan yang mencukupi.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita Dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan mengesahkan penahan suspek dibuat selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Sebelum ini, AlHijrah Online melaporkan seorang anak istimewa disyaki didera di sebuah rumah kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sini.

Video kanak-kanak tersebut dengan kesan luka di beberapa anggota badan ketika dijumpai untuk diselamatkan turut tular baru-baru ini yang menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini turut melaporkan bahawa rumah kebajikan tersebut beroperasi secara haram sejak 2019 selain tidak berdaftar dengan pihaknya.–AlHijrah Online

Leave a Reply