PENUBUHAN RCI TIADA KESAN PADA AGIHAN KEUNTUNGAN TH

Tabung Haji

PUTRAJAYA: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan dimuktamadkan secepat mungkin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi jaminan penubuhan RCI itu tidak akan memberi kesan terhadap agihan keuntungan Tabung Haji bagi pendepositnya.

Menurutnya, penubuhan RCI adalah untuk merungkai persoalan dan permasalahan yang sering ditimbulkan dan dibangkitkan mengenai TH seperti aspek pengauditan dan dasar.

“Penubuhan RCI dipersetujui hasil daripada kehendak sebahagian besar Ahli Parlimen, baik daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang, yang mahu isu-isu TH dilihat secara terperinci serta adil.

“Kita sejujurnya akan memastikan RCI bersifat bebas, telus dan akan pilih mereka yang berwibawa dan berintegriti untuk menganggotainya,” katanya seperti dilapor BERNAMA.

Rabu lepas, kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga TH dari tahun 2014 hingga 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan itu dijalankan hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.—AlHijrah Online

Leave a Reply