KUALA LUMPUR: Anak kepada atlet sukan tempuh halangan negara, Mohd Redha Rozlan atau Mat Redho, yang dilaporkan hilang tengah hari tadi, selamat ditemukan petang ini.
Isteri Mat Redho, Nadyra Arjunaidi memaklumkan bahawa anak mereka, Haq Medin Mohd Redha, 7, ditemui selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Anak kami ditemui selamat tanpa kecederaan. Terima kasih kepada semua yang membantu menyebarkan berita (tentang kehilangan anak), kami sangat menghargai,” katanya menerusi hantaran ‘story’ di Instagramnya.
Terdahulu, Mat Redho memuat naik hantaran di Instagramnya memaklumkan bahawa anaknya, Haq Medin Mohd Redha, 7, telah hilang semasa pulang dari sekolah.
Lokasi terakhir anaknya dikesan di perhentian bas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 2, di sini.—AlHijrah Online