ANCAMAN PENCEMARAN BUDAYA MODEN


Masyarakat merupakan suatu institusi yang penting dalam pembangunan sesebuah kerajaan dan negara. Kesempurnaan masyarakat dapat meningkatkan kualiti pemerintahan dan dasar kerajaan yang dibentuk.
Oleh sebab itu, pengisian dalam pembangunan kemasyarakatan merupakan elemen asas yang dapat menentukan kesesuaian dan keberkesanan dasar-dasar, polisi dan hala tuju pencapaian sesebuah negara.
Dalam konteks Malaysia, penyatuan dan keseragaman masyarakat dalam mengamalkan dasar perpaduan mengikut acuan Rukun Negara, merupakan suatu platform yang menentukan hala tuju pendemokrasian negara ini sejak mencapai kemerdekaan.
Penyesuaian dasar-dasar negara dalam mereka bentuk arah perpaduan masyarakat sering menjadi agenda dan perbualan tokoh-tokoh politik, akedemia dan masyarakat di negara ini.
Hakikatnya, perpaduan masyarakat yang berasaskan sentimen agama dan bangsa tidak dapat diterima di Malaysia, apatah lagi jika terdapat unsur-unsur yang berkeupayaan merobek sentuhan perpaduan di kalangan kaum di negara ini, harus disingkirkan dengan segera.
Persoalan-persoalan yang timbul daripada pelaksanaan dasar-dasar perpaduan ini di Malaysia, seperti ketidaksamaan pengagihan kekayaan, pendemokrasian pendidikan dan dasar-dasar sosial secara terbuka, semakin lantang dikemukakan oleh NGO-NGO atau pertubuhan-pertubuhan sukarela di negara ini.
Penggubalan dasar-dasar perpaduan seumpama ini disifatkan sebagai suatu pendekatan yang perlu dihayati dan dikemaskinikan dari semasa ke semasa dalam menentukan kesempurnaan pembangunan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Dasar Perpaduan Nasional, Pembangunan Teknologi dan Masyarakat
Dasar Perpaduan Nasional yang telah digubal Kerajaan merangkumi penyeragaman dan pembangunan insititusi sosial masyarakat Malaysia secara menyeluruh dan berimbang. Ia boleh disifatkan sebagai pemangkin hala tuju perpaduan nasional yang dilaksanakan oleh kerajaan pada hari ini.
Penyesuaian unsur-unsur perpaduan dalam masyarakat seperti kebebasan hak asasi individu atau kumpulan, pendidikan, kebebasan beragama dan hak mendapatkan keadilan, adalah merupakan perkara-perkara yang menjadi asas kepada penentuan pembangunan masyarakat liberal, berdaya saing dan berkarismatik,
Penentuan dan pelaksanaan agenda-agenda tersebut bukanlah berdasarkan kepada omong-omong kosong atau perbualan ‘warong kopi’ seharian, tetapi ia harus dimantap dan disusuli dengan penggunaan dan penguasaan teknologi berasaskan kepada maklumat yang kini merupakan agenda utama ekonomi dunia hari ini.
Proses globalisasi sekarang dianggap sebagai suatu gerakan peralihan budaya konvensional kepada suatu persekitaran yang menyatukan segala pemikiran, falsafah, ideologi dan pegangan masyarakat. Ia mewujudkan suatu perubahan drastik terhadap pemikiran, perlakuan dan tingkah laku individu untuk menghasilkan identiti baru yang bertentangan dengan nilai atau norma masyarakat sedia ada.
Ia kerap dikaitkan dengan peradaban budaya dan impak kepada kehidupan masyarakat. Peningkatan dalam teknologi maklumat menyebabkan masyarakat terdorong untuk mengubah budaya yang mereka amalkan kepada suatu konsep budaya baru yang dikatakan dapat memenuhi perkembangan era teknologi maklumat tersebut.
Isu lonjakan teknologi ini juga berkait rapat dengan pembentukan identiti masyarakat. Menjadi kebimbangan kita apabila perkembangan pesat dunia globalisasi hari ini yang akan menyukarkan kemuafakatan masyarakat dari segi identiti dan budaya masyarakat kita.
Malaysia tidak terlepas daripada menghadapi dilema ini. Dasar liberalisasi kerajaan terhadap kandungan Internet menyebabkan masyarakat cenderung untuk meneroka bentuk budaya baru yang ditonjolkan oleh negara-negara barat dalam usaha untuk memperluaskan pengaruh mereka.
Kebebasan mendapatkan maklumat tanpa penyeliaan, pemantauan atau kengkangan menerusi mekanisme tertentu ini memberikan gambaran bahawa proses imperalisme media barat terhadap pengembangan budaya timur telah berlaku.
Dalam erti kata lain, penjajahan budaya barat ke atas masyarakat timur akan mengubahkan persepsi masyarakat mengenai peradaban timur yang mereka amalkan sebelum ini.
Masyarakat dilihat tidak lagi akan menganggap pengamalan budaya timur yang mereka pertahankan selama ini relevan akan memberi kebaikan kepada mereka pada zaman teknologi maklumat hari ini.
Peraturan-peraturan yang dianggap ‘kuno’ atau menyekat kebebasan peribadi tidak lagi dilihat sebagai suatu bentuk pengawalan yang sempurna buat diri mereka. Ia bukan sahaja mendatangkan masalah, tetapi juga tidak memberi peluang kepada mereka untuk mengecapi ketelusan maklumat pada zaman ini.
Penguasaan teknologi berdasarkan ilmu teras yang tinggi dan dinamik hanya boleh dilaksanakan menerusi kejayaan sistem sosial dalam masyarakat memelihara dan memantapkan agenda sosial mereka agar berdaya saing dengan masyarakat global. Ia boleh dicapai menerusi kesepaduan ikatan dan kerjasama masyarakat tanpa mengikut ras, kaum, dan agama. Kerjasama yang dimaksudkan ini boleh meliputi unsur-unsur seperti;
- Kesederhanaan dalam pemikiran, terutamanya melibatkan peranan dan tuntutan masyarakat mengikut kaum dan agama;
- Perkongsian ilmu dan kemahiran dalam profesion di kalangan masyarakat yang dapat mengimbangi status ekonomi setiap unit dalam masyarakat;
- Penentuan bentuk tumpuan dan pendekatan dalam sistem pendidikan masyarakat supaya keseimbangan dalam penguasaan ilmu dapat dicapai;
Namun begitu, penaklukan teknologi maklumat ini memerlukan keseimbangan dari segi percambahan ilmu dasar dan peradaban masyarakat supaya kesan ancaman daripada penggunaan dan penaklukan teknologi tersebut tidak meledak, menggugat dan seterusnya menghancurkan agenda sosial yang kita pertahankan selama ini.
Beberapa pendekatan rasional dalam menentukan kesepaduan masyarakat di negara ini perlu diberi tumpuan secara serius, seperti
- Pelaksanaan agenda pendidikan nasional yang dapat memperkasakan budaya dan teknologi, berasaskan kepada kemantapan persekitaran ilmuan dan pemikiran yang dinamik dan berdaya maju dalam kalangan masyarakat. Masyarakat harus dibimbing berdasarkan acuan “Pengurusan Bakat” (Talent Management) dan bukanlah bergantung semata-mata kepada desakan material atau perlumbaan kerjaya;
- Penguasaan dan perluasan dasar-dasar sosial yang berupaya mengemudi arah pembentukan masyarakat bertamadun (civilisation), berdaya saing dan berwawasan, mengikut acuan Rukun Negara. Ini termasuklah memberi kebebasan kepada masyarakat untuk menyuarakan pandangan mereka dalam pelbagai cara tetapi haruslah mengikut peradaban negara kita;
- Pengukuhan budaya ilmu dalam agenda sosial dengan menentukan suatu reka bentuk kurikulum pendidikan, pemikiran dan pengamalan tingkah laku dalam masyarakat yang menggambarkan aspirasi bangsa dan negara, terutama melibatkan semangat petriotisme dan kenegaraan dalam kalangan generasi muda
Penulis adalah pensyarah kanan yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.