Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

ANGGOTA BOMBA MAUT REMPUH KERBAU 

DALAM NEGARA

ANGGOTA BOMBA MAUT REMPUH KERBAU 

Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 85, Jalan Ladang Gajah Mati, di Dungun semalam.

Sumber: Media Sosial

DUNGUN: Seorang anggota bomba maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 85, Jalan Ladang Gajah Mati, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata semasa kejadian Mohamad Kamil Mat Jusoh, 46, dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Taman Selesa, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) selepas menghadiri Program Hari Pencegahan Kebakaran 2025 di Kuala Terengganu.

Beliau berkata Mohamad Kamil yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat AMBS itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan dalam kejadian kira-kira 7.25 malam.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Kawasaki Z250 SL yang ditunggang Mohamad Kamil itu melanggar sekumpulan kerbau yang secara tiba-tiba melintas jalan, mengakibatkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar seekor daripada kerbau terbabit. 

“Akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak dari motosikal dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS Mohd Izzuddin Mahmood ketika dihubungi Bernama berkata pemergian Mohamad Kamil disifatkan sebagai kehilangan besar kepada warga kerja di AMBS.

“Arwah seorang yang baik, mudah bekerjasama dan komited terhadap tugas. Arwah telah berkhidmat di balai AMBS ini sejak 2005 dan sangat disenangi rakan sekerja kerana seorang yang pemurah dan rajin,” katanya.

Beliau berkata jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar AMBS.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading