ANGGOTA POLIS CEDERA KAKI DIGILIS KETIKA BERGELUT DENGAN PENJENAYAH

ALOR SETAR: Seorang anggota polis cedera ketika operasi menangkap seorang lelaki dipercayai pengedar dadah yang cuba ditahannya.

Kejadian berlaku di Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pada jam 6.55 petang, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu cuba menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara di tepi jalan di kampung itu.

Bagaimanapun katanya, pemandu kereta itu bertindak melarikan diri sebaik anggota memperkenalkan diri dan mengarahkannya keluar dari kereta itu.

“Pemandu berkenaan juga telah melanggar dua kenderaan milik anggota polis dan menggilis kaki kiri salah seorang anggota polis dalam cubaan melarikan diri itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, dalam usaha mempertahankan diri, beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar kereta berkenaan menyebabkan kereta dipandu suspek terbabas ke dalam sawah.

“Suspek kemudiannya telah keluar dari kereta dan cuba melarikan diri dan telah berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis.

“Suspek kemudiannya telah mengeluarkan pisau dan cuba menikam anggota polis sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tangan kanan dan belakang tapak tangan seorang anggota yang berusia 31 tahun,” katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu di dalam poket seluar lelaki berkenaan.

“Anggota polis yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum dia dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah” katanya.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala ujian air kencing yang dijalankan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan dadah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply