APLIKASI BIOMETRIK ‘SAUDI VISA BIO’ DILANCARKAN DI MALAYSIA, MUDAHKAN URUSAN HAJI DAN UMRAH

KUALA LUMPUR: Aplikasi biometrik ‘Saudi Visa Bio’ yang dilancarkan di Malaysia hari ini bakal memudahkan urusan pendaftaran jemaah haji dan umrah dari Malaysia, selain memendekkan tempoh prosedur kemasukan ke negara itu dalam menunaikan ibadah itu di Tanah Suci.

Menurut Duta Arab Saudi ke Malaysia Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan, langkah Arab Saudi memilih Malaysia untuk melancarkan aplikasi telefon pintar ini menggambarkan keutuhan hubungan persaudaraan yang terjalin antara kedua-dua negara.

Pada masa sama ia mencerminkan keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap agensi Malaysia yang menguruskan haji dan umrah, katanya.

“Kerajaan Arab Saudi dalam mengeluarkan visa Haji dan Umrah telah mengambil inisiatif membangunkan aplikasi cap jari biometrik menggunakan telefon pintar dengan melabur dalam teknologi canggih, selamat dan mudah digunakan,” kata beliau dalam ucapannya di majlis pelancaran aplikasi itu di sini, hari ini.

Aplikasi Saudi Visa Bio yang kini dalam fasa pertama akan menggunakan cap jari atau muka untuk melengkapkan proses pengeluaran visa Umrah atau Haji.

Aplikasi ini juga akan membolehkan pemohon visa Haji dan Umrah di Malaysia mendaftarkan bio-data mereka melalui telefon pintar, dan visa mereka akan dikeluarkan secara elektronik tanpa perlu mengunjungi pusat pengeluaran visa.

Antara kelebihan mendaftar sendiri untuk permohonan visa melalui aplikasi Saudi Visa Bio adalah apabila jemaah haji dan umrah tiba di Arab Saudi, mereka hanya perlu memadankan data mereka tanpa perlu mendaftar semula data biometrik dan ini akan memudahkan proses kemasukan mereka melalui mana-mana pintu masuk.

Aplikasi ini telah dilancarkan di Arab Saudi pada 2021 oleh Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud dan selaras dengan titah Raja Arab Saudi Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman untuk menawarkan perkhidmatan dan kemudahan terbaik untuk jemaah haji dan umrah.

Arab Saudi merupakan negara pertama di dunia menggunakan teknologi pendaftaran biometrik melalui telefon pintar untuk pengeluaran visa elektronik.–AlHijrah Online

Leave a Reply