MAYAT LELAKI TANPA IDENTITI DITEMUKAN DALAM LONGKANG

SEREMBAN: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan dalam longkang di tepi jalan besar Jalan Tok Ungku bersebelahan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mewah, Rahang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Nanda Maarof berkata lelaki yang dipercayai telah meninggal dunia empat hari lalu, ditemukan oleh seorang individu yang pada ketika itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Wisma Nadaraja, pada pukul 7.12 malam tadi.

“Saksi tersebut terhidu bau busuk dari arah longkang dan menjumpai mayat lelaki sebelum menghubungi talian 999 untuk bantuan. Mayat itu ditemui di dalam longkang yang berkeluasan dua kaki lebar (0.6 meter) dan kedalaman lebih kurang empat kaki (1.2 meter).

“Mangsa memakai baju berkolar dan ‘vest’ bertulisan ‘security’. Lelaki itu juga ditemui dalam keadaan tidak berseluar serta tidak berselipar atau kasut. Tiada sebarang dokumen diri ditemui pada mayat tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan tidak dapat memastikan punca kematian lelaki itu, kerana keadaannya yang telah membengkak dan berkulat dan unit K9 juga tidak menemukan sebarang bahan bukti semasa pengesanan dilakukan sekitar kawasan tersebut.

Nanda berkata punca kematian akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan oleh Hospital Tuanku Ja’afar dan setakat ini kes diklasifikan sebagai mati mengejut.

Leave a Reply