Aqsapedia platform perkembangan terkini Masjid al-Aqsa

Aqsapedia membolehkan orang ramai mengetahui berita mengenai Masjid al-Aqsa dan sebagai medan penyatuan umat Islam mempertahankan masjid ini dari kebiadaban Yahudi Zionis.

KUALA LUMPUR – Al-Quds Foundation Malaysia (QFM) dengan kerjasama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) melancarkan Aqsapedia, laman web ensiklopedia khusus tentang al-Aqsa sebagai platform rujukan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui perkembangan terkini tentang Masjid al-Aqsa.

Ketua Pegawai Eksekutif QFM, Dr. Sharif Amin Abu Shammala berkata, usaha menubuhkan laman ini bagi menyuntik dan menyebar luas kesedaran masyarakat tentang perjuangan mempertahankan Masjid al-Aqsa dari penjajahan dan tindakan biadab Zionis Israel.

“Aqsapedia mampu menjadi platform rujukan kepada para penyelidik, ahli akademik serta orang awam untuk mengetahui lebih lanjut tentang Masjid al-Aqsa dan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada projek untuk membela dan menyelamatkan al-Aqsa,” katanya dalam majlis pelancaran di Hotel Putra, di sini hari ini.

Aqsapedia yang boleh diakses melalui pautan aqsapedia.net diterbitkan dalam pilihan lapan bahasa iaitu Melayu, Mandarin, Tamil, Inggeris, Indonesia, Arab, Thai dan Hindi untuk capaian yang lebih meluas dan menjana lebih ramai penyokong Palestin.

“Ini sekaligus dapat mengukuhkan lagi perjuangan menentang propaganda serta projek Zionis Israel untuk mengambil alih dan menukar identiti Masjid al-Aqsa kepada milik Yahudi (Yahudisasi),” tambahnya.

Selain menjadi simbol perjuangan berterusan dunia Islam dalam melindungi Masjid al-Aqsa, Aqsapedia juga merupakan platform untuk membuktikan kesediaan dan komitmen negara-negara Islam dalam menentang musuh dan terus memberi tekanan kepada Israel.

Terbaru, sejumlah umat Islam di Palestin cedera selepas bertembung dengan polis Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha.

Leave a Reply